1.0.
PENGENALAN
Menurut Prof Dr. Awang Sariyan, tokoh bahasa
yang tidak asing lagi dalam membicarakan kemelut Bahasa Melayu dalam satu
wawancara dengan Bernama di kediamannya yang terletak di pinggir kota ( 2011 )
bahawa sejak abad ke-7 pada zaman Srivijaya ( di Sumatera ), Bahasa Melayu
sudah menjadi bahasa yang bukan kecil peranannya. Bahasa Melayu telah diangkat
dan dinobatkan sebagai bahasa pentadbiran bagi Srivijaya dan seluruh jajahan
takluknya, wilayah kerajaan kuasa kelautan yang sangat besar pada waktu itu.
Dan sebagai kuasa besar, Srivijaya bukan sahaja menggunakan Bahasa Melayu
sebagai bahasa pentadbiran malah sebagai bahasa perdagangan dan juga bahasa pengajian agama pada masa itu. Itulah
saatnya peranan Bahasa Melayu sebagai Lingua Franca atau bahasa perhubungan
umum dari rantau Alam Melayu telah digunakan oleh semua bangsa tidak hanya oleh
bangsa dalam kalangan Alam Melayu, bahkan oleh orang dari India dan China.
Begitu tingginya kedudukan Bahasa Melayu ketika itu boleh disimpulkan juga bersaksikan
pelbagai dokumen dan penulisan jika digarap dari sudut sejarah. Antaranya
catatan pengembara Cina I-Ching yang juga seorang pendita Buddha mengenai pusat
pengajian agama Buddha di Sumatera yang menggunakan Bahasa Melayu. I-Ching
dalam misi penjajahannya telah bermastautin selama enam bulan di Sriwijaya pada
sekitar abad ke-7. Ini jelas menunjukkan Bahasa Melayu telah digunakan sebagai
bahasa ilmu meskipun untuk pengembangan agama Buddha di ibu negeri Sriwijaya
kerana pada waktu itu syiar Islam belum sampai di Alam Melayu. Beliau turut
berkongsi pengamatan yang dibuat oleh Van Linschotten, seorang pegawai Belanda
yang bertugas di Indonesia antara 1586 hingga 1592 tentang kebesaran Bahasa
Melayu sebagai teras bahasa tamadun tinggi. Van Linschotten menulis bahawa
bahasa Melayu pada masa itu bukan sahaja amat harum namanya tetapi juga
dianggap bahasa paling dihormati antara bahasa-bahasa negeri Timur.
Menurut Dr. Awang lagi seorang ahli sejarah
Belanda Francois Valentijn yang banyak menulis mengenai Kepulauan Melayu
menulis pada awal abad ke-18 bahawa Bahasa Melayu difahami di mana-mana sahaja
oleh setiap orang di seluruh Kepulauan Melayu seperti bahasa Perancis atau
bahasa Latin di Eropah. Kesimpulan menarik yang ditulis Valentijn ialah orang
yang datang ke Alam Melayu mahu tidak mahu perlu mempelajari Bahasa Melayu,
dimana sesiapa yang tidak dapat berkomunikasi dalam Bahasa Melayu dianggap
sebagai golongan yang tidak terpelajar.
1.1.
KEGEMILANGAN BAHASA MELAYU
Zaman Kesultanan Melayu meliputi antaranya Melaka,
Acheh, Sumatera, Pasai sekitar abad 13 hingga 19 sesudahnya kedatangan agama
Islam menyaksikan bahasa Melayu menjangkau puncak kegemilangan sebagai bahasa
tamadun Melayu. Peranan Bahasa Melayu meliputi pelbagai ranah atau bidang
tamadun baik dari segi ilmu, pentadbiran, perdagangan, undang-undang dan juga
sebagai bahasa hubungan diplomatik. Bahasa Melayu pada waktu itu sudah menjadi
bahasa yang sangat luas penyebaran dan penggunaannya, bukan sahaja oleh orang
Melayu bahkan bangsa-bangsa lain seperti Arab, India, China, Parsi dan Eropah.
Kita tahu di Alam Melayu terdapat pelbagai kelompok bangsa asing termasuk
Eropah yang datang baik untuk tujuan penjajahan, perdagangan dan tujuan
penyebaran agama, masing-masing menggunakan Bahasa Melayu. Jadi Bahasa Melayu
sudah merentas semua bidang tamadun ketika itu, apa sahaja termasuk
undang-undang, sudah ada hukum kanun dari kurun 15 ke atas seperti Hukum Kanun
Melaka yang terkenal itu, di samping Undang-Undang 99 Perak, Undang-Undang
Johor, Undang-Undang Siak dan sebagainya. Malah ulamak besar dari Gujerat,
Nuruddin al-Raniri yang datang ke Alam Melayu sekitar abad ke-16 dan dilantik
sebagai mufti oleh Sultan Acheh. Menariknya, Nuruddin al-Raniri ini menulis kitab-kitab
agama dalam Bahasa Melayu walaupun beliau bukan orang Melayu.
Ini
menunjukkan kekuatan Bahasa Melayu, “Sesiapa
sahaja yang datang ke Alam Melayu perlu belajar dan menguasai Bahasa Melayu
walaupun dalam apa jua bidang iaitu pentadbiran, perdagangan, malah dalam
soal-soal agama pun mesti dalam Bahasa Melayu,” kata Dr. Awang lagi yang
pernah menyandang Pengarah Jabatan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka ( 1999-2004
).
Oleh itu, Bahasa Melayu sejak lebih daripada
satu alaf telah memiliki martabat sebagai bahasa dan tamadun besar. Sejak abad
ke-7 Masihi, bahasa Melayu telah menjadi bahasa kerajaan, bahasa perdagangan,
bahasa pengajian agama dan lingua franca bagi rantau Kepulauan Melayu di bawah
kerajaan Sriwijaya. Pada zaman Kesultanan Melayu dari sekitar abad ke 13 hingga
abad 19 bahasa Melayu mencapai puncak kegemilangan sebagai bahasa tamadun
Melayu baharu dengan menjadi bahasa pentadbiran, bahasa diplomasi, bahasa
undang-undang, bahasa ilmu dan falsafah, bahasa perdagangan, bahasa
ketatanegaraan dan bahasa sastera tinggi ( Awang Sariyan 2002 ). Maka tidaklah
menghairankan apabila sarjana Belanda Francois Valentijn mengungkapkan
kebitaraan bahasa Melayu pada abad ke-16 sebagai yang berikut :
‘
Bahasa mereka, Bahasa Melayu, bukan saja dituturkan di daerah pinggir laut
tetapi juga digunakan di seluruh Kepulauan Melayu dan di segala negeri-negeri
Timur, sebagai suatu bahasa yang difahami di amna-mana saja oleh setiap orang,
tidak ubah seperti Bahasa Perancis atau Latin di Eropah atau sebagai bahasa
Lingua Franca di Itali dan di Levant. Sungguh luas tersebarnya bahasa Melayu
itu sehingga kalau kita memahaminya tidaklah mungkin kita kehilangan jejak,
kerana bahasa itu bukan sahaja dimengerti di Parsi bahkan lebih jauh dari
negara itu dan disebelah timurnya sehingga Kepulauan Filipina. ( Nik Satiah Karim,
el.at, 2004 )
Kebitaraan bahasa Melayu pada abad 16 dan 17
dapat dirumuskan dengan kenyataan bahawa bahasa tersebut telah mencapai taraf
bahasa antarabangsa terutama dengan kedudukannya sebagai bahasa diplomatik,
Lingua Franca, bahasa perdagangan sedunia, bahasa penyebaran agama besar dunia
dan bahasa sastera ( Collins, 1999 dan Awang Sariyan, 2000 ).
2.0.
KELUNTURAN
MARTABAT BAHASA MELAYU
Martabat bahasa Melayu
dilunturkan oleh penjajah ( Belanda di Indonesia dan Inggeris di Malaysia )
dengan menurunkan darjat bahasa itu daripada bahasa besar dan bahasa
perhubungan luas menjadi bahasa setempat atau bahasa vernakular yang
disempitkan fungsinya hanya sebagai bahasa perhubungan sehari-hari dan lebih
untuk lingkungan masyarakat Melayu. Dalam zaman penjajahan Inggeris, bahasa
Melayu disetarafkan dengan bahasa keturunan yang dibawa masuk oleh Inggeris
untuk kepentingan ekonomi iaitu keturunan Cina dan India dengan menjadikannya
sebagai bahasa pengantar di sekolah vernakular Melayu sama halnya dengan bahasa
Cina di sekolah vernakular Cina dan bahasa Tamil di sekoah vernakular India.
Inggeris benar-benar telah melaksanakan dasar pecah-belah dan perintahnya dan
pada waktu yang sama telah membenamkan bahasa Melayu. Sistem pentadbiran dan
undang-undang pada zaman Kesultanan Melayu didasarkan pada asas kemelayuan (
dan Islam sebagai tunjangnya ) telah dirobah oleh Inggeris dengan menggunakan
sistem sekularnya. Jawatankuasa Barnes ( 1951 ) memperlihatkan perubahan
pandangan sedikit tentang Bahasa Melayu,
apabila mengakui betapa pentingnya bahasa Melayu dalam membentuk sistem
pendidikan yang bersifat kebangsaan tetapi masih tetap mengutamakan pendidikan
dalam bahasa Inggeris kerana bahasa Melayu tetap setakat menjadi bahasa
pengantar di peringkat sekolah rendah sahaja. Usulnya agar sistem pendidikan
hanya berlandaskan dua bahasa penghantar iaitu bahasa Inggeris dan bahasa
Melayu ditentang kuat oleh masyarakat Cina dan India.
Menjelang kemerdekaan,
usaha memartabatkan semula bahasa Melayu telah diupayakan, khususnya oleh
Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956 yang menetapkan dasar pendidikan kebangsaan
dengan berteraskan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama.
Usul Jawatankuasa tersebut yang dikenal sebagai Penyata Razak dan kemudian
diperkuat oleh usul Jawatankuasa Penyemakan Pelajaran Abdul Rahman Talib 1960
yang dikenal sebagai Penyata Rahman Talib telah dijadikan asas penggubalan Akta
Pelajaran 1961 yang selama 35 tahun menjadi asas sistem pendidikan kebangsaan
sebelum diluluskan Akta Pendidikan 1996. Malah akta pendidikan yang baharu itu
pun, khususnya dalam Seksyen 17 masih mempertahankan kedudukan bahasa Melayu
sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan negara. Setahun menjelang
kemerdekaan juga peristiwa penting yang berkaitan dengan usaha memartabatkan
semula bahasa Melayu ialah Penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka, sebagai hasil
desakan rakyat melalui Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu, khususnya Kongres
Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga ( 1956 ). Kesediaan kerajaan pada waktu itu
memenuhi tuntutan rakyat merupakan kebijaksanaan yang tepat untuk mempersiapkan
bahasa Melayu sebagai bahasa yang berupaya menjadi wahana bidang-bidang utama
tamadun bangsa dan negara, khususnya melalui perancangan korpus bahasa dalam
bidang kosa kata ( umum dan khusus ), sistem ejaan, tatabahasa, sebutan dan
laras bahasa.
Selama hampir setengah abad negara menikmati kemerdekaan,
bahasa Melayu telah menjadi salah satu asas pembinaan negara yang penting
melalui tiga fungsi utama iaitu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan
bahasa ilmu.
Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu telah
berhasil menjadi asas terbentuknya konsep negara yang berdaulat dan telah
menjadi faktor pemersatuan rakyat yang ampuh sehingga terbentuk perpaduan
kebangsaan. Sebagai bahasa rasmi pula,
bahasa Melayu telah menjadi wahana komunikasi rasmi yang menggerakkan jentera
pentadbiran kerajaan dalam membangunkan negara dalam pelbagai sektor. Sektor
utama negeri seperti pentadbiran, pendidikan, undang-undang dan kehakiman serta
media massa telah mencapai tahap kemajuan dan kecekapan yang membanggakan
melalui bahasa Melayu sebagai wahana utamanya. Sebagai bahasa ilmu, bahasa
Melayu telah memungkinkan berlangsungnya pendemokrasian pendidikan apabila
sejumlah besar generasi muda mendapat peluang belajar dalam bahasa kebangsaan
tanpa kekangan faktor taraf sosioekonomi dan pengasingan etnik serta
keekslusifan bahasa penghantar ilmu yang dahulunya didominasikan oleh bahasa
Inggeris. Meskipun pada tahap pengajian tinggi, khususnya yang melanjutkan
pengajian di luar negara, memperoleh ilmu dalam bahasa asing, kenyataan yang
tidak dapat dinafikan ialah bahawa sehingga peringkat menengah atas sekurang-kurangnya
iaitu peringkat yang memberikan ilmu dan kemahiran asas kepada pelajar,
pendidikan disampaikan dalam bahasa kebangsaan.
Namun apabila ada
tindakan berpatah kembali untuk menjadikan bahasa lain sebagai wahana
bidang-bidang utama kenegaraan itu, khususnya melalui bidang pendidikan, maka
martabat bahasa Melayu sudah mula tergugat. Pengurangan fungsi dan peminggiran
bahasa Melayu dalam bidang-bidang yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan
Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan dan Akta Dewan Bahasa dan
Pustaka secara langsung akan menjejaskan martabat bahasa Melayu sebagai salah
satu tunggak pembinaan Negara.
Walau bagaimanapun
dengan tentangan-tentangan semasa, bahasa Melayu mengalami kemerosotan dalam
beberapa aspek iaitu kemerosotan dalam aspek taraf bermaksud penyempitan
penggunaan bahasa Melayu dalam bidang-bidang yang telah ditetapkan
penggunaannya oleh undang-undang iaitu Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152,
Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan dan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sebagai contoh, penggunaan bahasa Melayu dalam bidang pentadbiran,
undang-undang, penyiaran dan pendidikan mutakhir ini ternyata bukan semakin
meluas tetapi kian mengecil. Apabila subjek-subjek yang berteraskan Sains dan
Matematik diputuskan diajarkan dalam bahasa Inggeris ( sehingga unjurannya
menunjukkan bahawa penggunaan bahasa Inggeris sehingga akan mencapai 80% dalam
sistem pendidikan negara), misalnya pasti tidak dapat memenuhi aspirasi
menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa
penghantar utama sistem pendidikan.
Kemerosotan dalam aspek
mutu bahasa pula berkaitan dengan kurang pekanya sebilangan anggota masyarakat
terhadap bentuk bahasa Melayu yang baku dan ragam bahasa Melayu rasmi,
khususnya dalam konteks bidang yang rasmi seperti pentadbiran, penyiaran dan
pendidikan. Percampuran ragam bahasa basahan ( yang ditandai oleh fenomena
bahasa rojak atau isltilah linguistiknya peralihan kod, bahasa sms, bahasa
sembang di internet dan sebagainya ) dengan bahasa yang baku dalam situasi
rasmi menjadikan bahasa Melayu kehilangan darjat dan citra sebagai bahasa
budaya tinggi. Demikian juga, semakin tidak nyata semangat cinta dan hormat
kepada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan asas jati diri negara
apabila kian banyak terjadi fenomena penamaan tempat, bangunan dan jalan,
termasuk di kawasan yang menjadi pusat pentadbiran negara, yang mengutamakan
nama berdasarkan bahasa asing ( misalnya precint, parcel dan boulevard ).
Senario kini tentang
kedudukan bahasa Melayu menunjukkan kian kurang terbudayanya bahasa Melayu
dalam kalangan sejumlah anggota masyarakat, khususnya dalam konteks yang
fungsional, iaitu yang berkaitan dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Senario itu tergambar pada beberapa
perkara berikut :
·
Penghayatan
penjawat awam yang kurang memuaskan dalam pelaksanaan peruntukan Perkara 152
tentang peranan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi sehingga masih banyak urusan
rasmi seperti mesyuarat, pekeliling, majlis rasmi dan sebagainya yang masih
tidak mengutamakan bahasa Melayu seperti yang ditafsirkan sebagai bahasa rasmi
dalam Perlembagaan.
·
Tidak
tegasnya dan tidak selarasnya penguatkuasaan bahasa dalam sektor tertentu
seperti penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di tempat awam (
melibatkan pihak berkuasa tempatan ), penyiaran ( melibatkan Kementerian
Penerangan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia ).
·
Pengurangan
peranan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan sebagai kesan pelaksanaan
beberapa keputusan, seperti pengajaran subjek-subjek berasaskan sains dan
matematik dalam bahasa Inggeris di sekolah, peningkatan dan peluasan bahasa
Inggeris sebagai bahasa penghantar kursus di IPTA dan juga pengecualian
pengajaran di IPTS dalam bahasa asing serta pengecualian pengajaran bahasa
Melayu sebagai subjek wajib.
·
Globalisasi
yang sebahagian besarnya melalui perantaraan bahasa asing, khususnya bahasa
Inggeris, sehingga timbul keghairahan yang kadang kala berlebihan dalam
kalangan pelbagai lapisan masyarakat ( pemimpin, profesional dan orang awam )
untuk mengutamakan penguasaan bahasa Inggeris dan mengurangkan perhatian kepada
penggunaan bahasa Melayu.
·
Budaya
berbahasa Melayu dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat Malaysia, termasuk
dalam kalangan orang Melayu sendiri tidak cukup mantap kerana adanya anggapan bahawa bahasa Melayu
tidak berkolerasi dengan taraf sosial dan pendidikan serta tidak mempunyai
nilai ekonomi yang tinggi, sementara bahasa Inggeris dianggap menjadi kayu ukur
taraf sosial dan pendidikan serta menjanjikan pulangan ekonomi, misalnya dalam
hal peluang pekerjaan. Jika bahasa Melayu digunakan pula, masih besar jumlah
anggota masyarakat, termasuk golongan yang berpengaruh yang menggunakannya pada
tahap mutu bahasa yang tidak begitu mencerminkan budaya tinggi.
·
Kenyataan
yang merendahkan taraf dan relevannya bahasa Melayu turut mengurangkan
perhatian dan keyakinan sebilangan anggota masyarakat kepada bahasa Melayu.
Sebagai contoh, dalam pada DBP mengusahakan penglibatan sektor swasta
menggunakan bahasa kebangsaan pada papan perniagaan dan iklan mereka, Menteri
Perumahan dan Kerajaan Tempatan ( menurut laporan The Star pada 1 Januari 2004
) membuat kenyataan bahawa penggunaan bahasa kebangsaan tidak akan diwajibkan
lagi pada papan perniagaan dan iklan. Seorang menteri kanan pula, melalui media
juga, mengajak masyarakat mengabaikan pejuang bahasa yang didakwanya berfikiran
sempit, lalu menyeru agar digiatkan usaha meluaskan penggunaan bahasa Inggeris
untuk mencapai kemajuan, dan dengan tidak segan-silu atau berasa hormat kepada
salah satu asas kenegaraan, iaitu bahasa kebangsaan, mengisytiharkan bahawa
urusan di kementeriannya kebanyakannya dilaksanakan dengan menggunakan bahasa
Inggeris.
3.0.
CABARAN DAN MASA HADAPAN BAHASA MELAYU ABAD
KE 21
Cabaran ialah sesuatu
iaitu unsur atau faktor yang mencabar, menguji kemampuan dan ketabahan seseorang atau
sesuatu organisasi ( Kamus Dewan Edisi ke-4, 2005 ). Oleh itu cabaran bahasa
Melayu dalam abad ke-21 bermaksud mencabar kemampuan bahasa Melayu dalam menuju
abad ke-21 atau dipanggil era globalisasi. Jadi, abad ke-21 atau lebih dikenai
sebagai era globalisasi merupakan satu zaman yang penuh dengan cabaran terutama
kedudukan bahasa Melayu di negara ini. Permulaan abad ke-20 merupakan era
penjajah Barat ke atas Kepulauan-kepulauan Melayu iaitu Inggeris bagi
Semenanjung Tanah Melayu dan Utara Borneo, Belanda bagi Kepulauan
Sumatera,Jawa, Selatan Borneo, Sulawesi, Maluku, Madura dan Bali dan Sepanyol
bagi Kepulauan Filipina ( Prof. Dr. Hashim Haji Musa, 2009 ). Keadaan yang
sedemikian telah meyebabkan bahasa Melayu telah menghadapi cabaran iaitu
bermulanya kemerosotan kedudukan bahasa Melayu sebagai lingua franca di rantau
ini. Dalam konteks ini, pihak penjajah telah memaksa menggunakan bahasa mereka
sebagai bahasa rasmi dan bahasa penghantar pendidikan terhadap jajahan takluk
mereka. Setelah sekian lama, kemerdekaan tercapai barulah bahasa Melayu telah
dikembalikan statusnya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan lingua
franca di rantau ini. Pada masa ini juga bahasa Melayu menghadapi cabaran yang
sengit terutamanya dalam abad ke-21. Pada dasarnya bahasa Melayu telah menjadi
bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan
Negara iaitu Perkara 152 yang menyatakan bahawa Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa
Melayu. Jadi, pada abad ke-21, bahasa Melayu yang diperkasakan dan
dimartabatkan di negara ini terpaksa menghadapi saingan dengan penggunaan
bahasa Inggeris yang merupakan bahasa global. Persaingan yang paling hebat dan
mencabar kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ini ialah
pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.
Menurut Prof. Dato’ Awang Had Salleh, dalam Laporan
Jawatankuasa Mengkaji Penggunaan Bahasa Malaysia menegaskan bahawa bahasa
Melayu ialah bahasa ibunda kepada orang-orang keturunan Melayu. Jadi, Perkara
152 Perlembagaan Malaysia telah memperuntukkan bahawa bahasa Melayu menjadi
Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Kebangsaan ini hendaklah digunakan di dalam urusan
rasmi dalam semua bidang. Walaupun terdapat pelbagai halangan, penggunaan
Bahasa Kebangsaan tetap berjalan lancar. Untuk memenuhi kehendak tersebut, pada
peringkat awal, Bahasa Kebangsaan telah diperkenalkan sebagai satu mata
pelajaran di sekolah rendah atau menengah, khususnya sekolah yang bahasa
pengantarnya bukan bahasa Melayu. Pada peringkat yang terkemudian, apabila
kedudukan Bahasa kebangsaan ini sudah cukup matang dan stabil, barulah wujud
pula keperluan untuk memperkukuhkan perpaduan rakyat dan memupuk keperibadian
Malaysia, maka istilah Bahasa Malaysia telah digunakan.
Gelombang arus globalisasi
tidak boleh dipisahkan dengan pengaruh bahasa Inggeris itu sendiri. Fenomena
ini memperlihatkan berlakunya imperialisme bahasa. Yang dimaksudkan dengan imperialisme
bahasa ialah dasar meluaskan kuasa dan pengaruh negara ke dunia melalui
diplomasi dan kekuatan tentera, terutama sekali dengan mendapatkan tanah
jajahan ( Oxford Fajar Advanced Learner’s English-Malay, 2000). Definisi
imperialisme yang dimaksudkan ini harus diperluaskan lagi. Kini bahasa juga
boleh dianggap sebagai satu bentuk imperialisme.
Penggunaan bahasa dalam teknologi komunikasi
kebanyakannya menggunakan bahasa Inggeris. Kesan daripada penguasaan bahasa
Inggeris dalam teknologi komunikasi bukan sahaja akan menggugat kedudukan
bahasa Melayu malah budaya Melayu itu sendiri. Jelasnya imperialisme bahasa
yang didokong oleh laungan globalisasi menjadi satu faktor penyebab kepada
kemerosotan nilai bahasa Melayu.
3.1 CABARAN
BAHASA MELAYU DALAM BIDANG POLITIK
Syed Husin Ali ( 1996;
164-171 ) pernah mengulas kenapa berlakunya fenomena peminggiran bahasa Melayu
ini. Antara faktor yang ditekankan adalah faktor politik seperti berikut :
·
Cita-cita
untuk mencapai kemajuan melalui pemodenan. Ini menyebabkan mereka menekankan
perkembangan ekonomi serta kemajuan industri dan menggalakkan sikap ’go global’ lebih daripada yang lain
yang mempunyai implikasi juga terhadap bahasa.
·
Golongan
korporat peringkat tinggi dan pertengahan mempunyai pengaruh yang besar dalam
politik di peringkat pusat dan negeri. Sekarang ini bukan guru-guru Melayu,
tetapi golongan korporat inilah yang berpengaruh dalam politik. Sikap mereka
terhadap bahasa Inggeris memang serius.
·
Akibat
pengaruh globalisasi yang dominan sekarang, para pemimpin politik lebih
terpengaruh dengan dasar liberal. Mereka melihat bahawa dasar ekonomi, budaya
serta bahasa yang liberal adalah popular dan dapat memperluas pengaruh politik
mereka.
Dengan beralasan arus global ini, pihak berkuasa telah
mengubah dasar pendidikan dengan mengarahkan Sains dan Matematik diajar dalam
bahasa Inggeris. Alasannya agar rakyat Malaysia tidak terpinggir dengan
kemajuan pesat teknologi moden dewasa ini.
Payung terbesar dari segi perundangan ialah peruntukan
yang terdapat di dalam perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang
mengkanun kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagi Persekutuan
Malaysia. Peruntukan ini menegaskan bahasa Melayu digunakan di semua peringkat
rasmi, khasnya di dalam pemerintahan dan pentadbiran bagi semua negeri di dalam
Persekutuan. Ini juga meliputi seluruh saluran komunikasi serta penyiaran rasmi
kerajaan, sama ada radio, televisyen dan apa jua rangkaian yang sehubungan
dengannya. Oleh kerana itu, setiap penyiaran dan pengumuman rasmi oleh semua
peringkat kepimpinan eksekutif dan birokrasi mestilah di dalam bahasa Melayu.
Sehubungan dengan
peruntukan Perkara 152, terdapat juga Akta 32, Akta Bahasa Kebangsaan 1963,
yang disemak dalam 1971 kemudian dikenali Akta A554, Akta Bahasa Kebangsaan (
Pindaan dan Perluasan 1983 ), yang mengandungi undang-undang terpinda
sebagaimana berkuat-kuasa pada 15 Julai 1983. Akta ini menegaskan bahasa
kebangsaan digunakan bagi maksud rasmi. Akta ini di dalam Perkara 9,
memperuntukan tulisan bahasa kebangsaan adalah tulisan rumi, tetapi tidak
melarang penggunaan tulisan Jawi. Melalui pindaan dan perluasan 1983, segala
prosiding dalam Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Tinggi atau mana Mahkamah Rendah
hendaklah dalam bahasa kebangsaan atau bahasa Inggeris.
Di awal Akta Pendidikan
1996 ( Akta 550 ) telah dicatatkan bahawa dasar pendidikan kebangsaan
memperuntukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama. Akta yang sama
di dalam Perkara 17 menegaskan bahawa bahasa kebangsaan sebagai bahasa-bahasa
pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam sistem pendidikan
kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah Seksyen 18
atau mana-mana institusi pendidikan yang dikecualikan oleh menteri daripada
subseksyen ini.
Sementara itu, bidang
pengajian tinggi awam juga tidak boleh bercanggah dengan Perkara 152
Perlembagaan Persekutuan. Namun begitu, setelah 52 tahun Malaysia merdeka dan
32 tahun pelaksanaan sepenuhnya dasar bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar
pendidikan, bahasa Melayu telah menghadapi cabaran yang tidak diduga apabila
Akta Pendidikan 1996 dan Akta IPTS 1996 diluluskan, maka semua IPTS dibenarkan
menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Keadaan belum reda, satu
cabaran telah muncul iaitu pada tahun 2003, penggunaan bahasa Inggeris bagi
semua matematik dan sains dalam semua peringkat. Namun, pejuang-pejuang bahasa
bersatu tenaga untuk memastikan bahasa Melayu mendapat tempat di negara ini seperti termaktub dalam
Perlembagaan negara, perkara 152. Akhirnya, tahun 2012 penggunaan bahasa Inggeris
dalam sains dan matematik dihapuskan.
Munculnya abad ke-21,
telah menjadikan bahasa Melayu semakin mendapat persaingan sengit atau cabaran
daripada bahasa Inggeris. Pada tahun 2010, Tan Sri Muhyidin Yasin, Timbalan
Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa pada tahun 2012, mata pelajaran Sains
dan Matematik akan diajar dalam bahasa Melayu. Langkah ini, telah menjadikan
bahasa Melayu kembali dominan dan diperkasa.
Kejayaan sesuatu bangsa
bukanlah berdasarkan bahasa Inggeris, tetapi kefahaman sesuatu perkara dengan
menggunakan bahasa ibunda. Justeru, ada yang menganggap bahawa orang Melayu
atau negara ini tidak akan maju jikalau orang Melayu tidak menggunakan bahasa
Inggeris sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan. Perlu diingati, negara Jepun,
Korea Selatan dan banyak negara lain masih menggunakan bahasa ibunda dalam
semua bidang. Pemerkasaan bahasa ibunda mereka telah menjadikan negara mereka
maju malah lebih maju daripada negara barat. Selain itu, masyarakat sudah mula
menunjukkan pentingnya peneguhan dan penegasan bahawa bahasa Melayu sebagai
bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Maksudnya, masyarakat sudah sedar betapa
pentingnya bahasa Melayu dan kini wujudnya generasi yang mahu mempelajari dan
mahir menggunakan bahasa Melayu. Menurut Dr. Nik Safiah Karim ( 1993 ), Dasar
Bahasa Kebangsaan di Malaysia telah berjaya, terutamanya jika dilihat dari
perspektif penggunaannya dalam jentera pentadbiran, dalam sistem pendidikan dan
dalam beberapa domain utama kehidupan sehari-hari masyarakat Malaysia. Kita boleh
berbangga dengan kejayaan tersebut. Namun cabaran yang lain timbul pula, iaitu
dalam bentuk penggemblengan usaha daripada pelbagai pihak yang masih diperlukan
untuk melestarikan ( mengekalkan atau menetapkan ) sekali gus mempertingkatkan
mutu bahasa yang digunakan. Dalam kata lain, semua pihak perlu bekerjasama
untuk memastikan bahasa Melayu terus diperkasakan agar cabaran abad ke-21 tidak
meminggirkan bahasa Melayu sama ada dalam sistem pendidikan atau pentadbiran.
3.2 CABARAN BAHASA
MELAYU DALAM KEMAJUAN TEKNOLOGI
MAKLUMAT (ICT).
Pada masa ini bidang teknologi maklumat
amat penting. Jadi, Malaysia telah mendapat impak yang besar terutama dari segi
penggunaan bahasa teknologi maklumat. Bahasa teknologi maklumat yang paling
dominan di dunia ialah bahasa Inggeris. Keadaan ini sudah tentu memberi kesan
kepada penggunaan bahasa Melayu dalam teknologi maklumat. Oleh itu, kita
seharusnya mempelajari bahasa teknologi maklumat supaya perbendaharaan kata
berkenaan teknologi maklumat dalam bahasa Melayu diperkaya. Jadi, bahasa
Inggeris tetap dipelajari kerana ilmunya. Kita harus berfikiran positif dan
memandang ke hadapan. Semua negara mempelajari bahasa Inggeris sebagai bahasa
kedua selain bahasa ibunda. Negara Korea Selatan dan Jepun merupakan sebuah
negara yang maju dalam bidang sains dan teknologi, namun mereka tetap
mempertahankan bahasa ibunda dan bahasa Inggeris tetap dipelajari. Menurut
Kamal Shukri Abdullah Sani ( 2007;50 ) bahawa Jepun tidak berganjak daripada menggunakan
bahasanya dari peringkat tadika sehingga ke peringkat pengajian tinggi dalam
semua bidang mata pelajaran. Bahasa Inggeris hanya dipelajari mulai di
peringkat menengah dan bukan di peringkat rendah. Peluang mempelajari bahasa
lain seperti Jerman, Sepanyol, Portugi, Rusia, Mandarin dan lain-lain turut
disediakan sama ada di institusi pendidikan, rancangan televisyen dan
lain-lain. Walau bagaimanapun bahasa Jepun tetap diutamakan dan dijunjung
tinggi martabat dan maruahnya.
Teknologi maklumat dan
komunikasi ( ICT ) adalah diasaskan oleh perkembangan dan kemajuan yang pesat
dalam bidang mikroelektronik sehingga menghasilkan pelbagai kemudahan teknologi
maklumat seperti komputer peribadi, telekomunikasi media dan sebagainya.
Seterusnya, kemunculan internet telah meluaskan penggunaan ICT dengan jaringan
informasi bersepadu sehingga membolehkan diaplikasikan sebagai media komunikasi
yang melibatkan teks, bunyi, grafik dan video. Permasalahan ini secara langsung
mempengaruhi dan mencabar kewibawaan dan kedudukan bahasa Melayu di rantau
Nusantara ini. Lebih-lebih lagi negara Malaysia yang menjadikan bahasa Melayu
sebagai bahasa rasmi di negara ini. Negara Jepun maju dalam teknologi maklumat
namun bahasa ibunda tetap terjaga dan terpelihara. Oleh yang demikian,
penekanan terhadap ICT pada era globalisasi dan liberalisasi bermakna
penggunaan bahasa Inggeris menjadi semakin penting dan tidak dapat dielakkan
oleh masyarakat dunia. Era ICT telah menunjukkan bahasa Inggeris mengiringi
kelahiran pertama internet dunia di Amerika Syarikat dan seterusnya diikuti
dengan pengeluar perisian dan perkakasan komputer seperti Microsoft, Dell,
Hewlett-Pachard yang semuanya diasaskan oleh mereka yang berbahasa tinggi.
Oleh itu, masyarakat
perlu memperlihatkan sikap terbuka dan kesediaan untuk menghadapi cabaran
perkembangan yang pesat dalam ICT dengan pengaruh bahasa asing, khususnya
bahasa Inggeris. Usaha supaya bahasa Melayu diterima dalam era siber hanya akan
terlaksana jika masyarakat mempelajari pengalaman dan kejayaan yang telah
dicapai oleh bahasa Inggeris. Dengan cara dan langkah ini kita percaya perkembangan
bahasa Melayu dan terus bersemarak seandainya kita bersikap terbuka. Dengan
adanya ilmu sains dan teknologi maklumat dalam bahasa Inggeris, kita boleh
menterjemahkan ke dalam bahasa ibunda iaitu bahasa Melayu. Secara langsung
bahasa Melayu dalam sains dan teknologi maklumat akan terus meningkat dan
berkembang. Mengikut pendapat Prof. Dr. Hashim Hj. Musa dalam buku
Sosiolinguistik Lanjutan. ( 2009;61 ) bahawa bahasa penguasaan ilmu sains dan
teknologi yang tinggi, kemahiran dan kepakaran secara meluas dalam kalangan
rakyat merupakan faktor utama dalam pembangunan sumber Daya Tenaga Manusia
sesebuah negara secara menyeluruh, yang menjadi faktor utama pula kepada pembangunan
dan kemajuan negara itu. Penyampaian dan pemahaman ilmu pengetahuan sains,
teknologi dan kepakaran serta kemahiran dengan cara yang paling berkesan adalah
dengan perantaraan bahasa kebangsaan rakyat itu sendiri.
Oleh itu, walaupun
cabaran dalam teknologi maklumat begitu hebat, bahasa Melayu perlu seiring
dengan perkembangan teknologi maklumat. Hal ini disebabkan pelbagai maklumat
yang terkandung dalam pelbagai jenis teknologi maklumat yang sedia ada harus
terdapat dalam bahasa Melayu, benar-benar sesuai dengan hasrat untuk
menyejagatkan bahasa Melayu dan teknologi maklumat itu sendiri merupakan
saluran yang cukup penting, canggih, pantas serta cekap. Oleh itu, bahasa
Melayu bukannya perlu bersaing dengan teknologi maklumat, sebaliknya ia patut
bersepadu dengan jayanya. Dengan cara ini bahasa Melayu mampu mengaplikasikan
sumber ilmu itu untuk menjanakan maklumat pelbagai bidang dalam dunia serba
teknikal ini. Untuk melaksanakannya lebih banyak buku dan pengarang diperlukan
untuk menghasilkan lebih banyak bahan bacaan dan rujukan dalam bidang Informasi
Teknologi (IT). Sehubungan itu, portal www. malaycivilization.com yang dibina
khas di ATMA itu cumalah satu tapak kecil dalam langkah besar kita untuk
menyebarkan bahan berbahasa Melayu di ruang siber. Pendek kata, pintu untuk
memperkembangkan bahasa Melayu sudah bertambah baik dan semakin menjadi lebih
menarik.
3.3 CABARAN
BAHASA MELAYU DALAM MEDIA.
Pada abad ke-21 terdapat
beberapa gejala yang amat membimbangkan berkaitan penggunaan bahasa Melayu.
Pengaruh media elektronik telah merosakkan penggunaan bahasa Melayu dari segi
pertuturan ayat, istilah, bahasa rojak dan sebagainya. Tidak dinafikan keaslian
bahasa ibunda tercemar akibat kemasukan dan percampuran istilah yang diguna
pakai oleh masyarakat di negara kita termasuk orang Melayu ketika bertutur
sesama rakan. Menurut sejarah, bahasa rojak sudah mula dapat dikesan ketika Zaman
Parameswara lagi iaitu pada Zaman Kesultanan Melayu Melaka. Di Melaka ketika
itu terdapat 84 bahasa yang digunakan oleh penduduk tempatan maka tidak hairan
bahasa rojak dijadikan bahasa perantara untuk berurusan dalam pelbagai hal.
Kerosakan penggunaan bahasa Melayu yang paling teruk berlaku ialah golongan
remaja. Pada abad ke-21 sudah menjadi satu trend atau ikutan kepada golongan
remaja dalam penggunaan bahasa Melayu. Selain itu, kebanyakan pengacara majlis
atau program di televisyen dan radio dalam pengendalian sesuatu program, sudah
menjadi kewajiban untuk mencampuradukkan bahasa mereka. Dalam mengendalikan
sesuatu program atau rancangan pengacara pada peringkat awal menggunakan bahasa
Melayu tetapi sebaliknya berlaku dalam pertengahan program hingga akhir,
kemudian pengacara mencampuradukkan penyampaian bahasa Melayu dan bahasa
Inggeris walaupun programnya lebih kepada berbahasa Melayu dan penonton
majoritinya berbahasa Melayu. Memang tidak dinafikan bahawa rakyat di negara
kita mahir dalam dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris maka
terdapat pelbagai bentuk dan cara dalam pertuturan mereka. Menurut Nik Safiah
Karim ( 2004 ), ada kalanya dua bahasa ini berselang-seli iaitu satu ayat dalam
satu bahasa diikuti oleh ayat dalam bahasa kedua. Contohnya
ialah ” Saya mengambil keputusan untuk pergi, then I thought I should consult
my father.” Keadaan ini sudah menjadi kebiasaan mana-mana rancangan atau
program televisyen pada abad ke-21. Sekiranya permasalahan ini tidak dibendung,
sudah tentu memberi cabaran yang besar kepada kedudukan bahasa Melayu di negara
ini.
Manakala golongan remaja pula, penggunaan
bahasa Melayu mereka amat membimbangkan dan boleh merosakkan nilai bahasa
Melayu. Hal ini disebabkan
kecanggihan teknologi maklumat pada abad ke-21 iaitu penggunaan telefon bimbit.
Untuk menghantar sms kepada rakan-rakan mereka menggunakan bahasa rojak dan
berlakunya kerancuan bahasa. Menurut Prof. Dr. Hashim Hj. Musa kerancuan bahasa
ialah penggunaan bahasa yang tidak mengikut peraturannya sama ada dari segi
sintaksis, morfologi, kosa kata, istilah dan sebagainya yang menyebabkan kekacauan
dan ketidaktekalan dari segi pembentukan ayat, klausa, frasa, ejaan, sebutan,
kosa kata dan istilah. Di sini terdapat beberapa perkataan yang sering
disalahgunakan semasa menghantar sms. Misalnya perkataan-perkataan seperti kang
( nanti ), a’kum ( assalamualaikum ), w’lam (
waalaikumussalam), dowang ( mereka ), tipon ( telefon ). Pengubahsuaian juga
telah dibuat kepada kata gantinama seperti sayer ( saya ), dier ( dia ) dan nko
( engkau ). Begitu juga dengan kata tanya telah diubah suai seperti biler (
bila ). Keracunan bahasa Melayu abad ke-21 merupakan satu cabaran yang boleh
merosakkan keteraturan, kehalusan dan keintelektualan bahasa Melayu kerana
menjejas sistem dan peraturannya yang menyebabkan kecelaruan dan ketidaktekalannya.
Hal ini akan merosakkan martabat dan kewibawaan bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan, bahasa pendidikan dan bahasa ilmu tinggi yang akhirnya akan
menurunkan maruahnya dan disisihkan oleh pengguna bahasanya.
3.4 CABARAN
BAHASA MELAYU TERHADAP SIKAP MASYARAKAT.
Dalam abad ke-21 sikap
masyarakat atau penutur amat penting dalam penggunaan bahasa Melayu. Sekiranya
sikap penutur tiada kesungguhan atau perasaan malu menebal kerana menggunakan
bahasa Melayu, maka sudah pasti bahasa Melayu akan terkubur pada suatu hari
nanti. Oleh itu, sikap masyarakat atau penutur merupakan cabaran yang
sebenarnya bagi bahasa Melayu. Jadi pada abad ke-21 telah memperlihatkan
kelemahan terhadap sikap penutur yang tidak mengambil berat terhadap bahasa kebangsaan
mereka. Hal ini disebabkan mereka sudah terdidik dalam bahasa Inggeris dan
lebih selesa bertutur dalam bahasa Inggeris. Akibatnya mereka tidak mahu
menggunakannya dan tidak kisah terhadap bahasa sendiri. Peristilahan dan tutur
kata tidak dilakukan kerana tidak mengikuti perkembangan bahasa Melayu. Apabila
disuruh memberi pendapat dan idea, mereka lebih suka bertutur dalam bahasa
Inggeris. Begitu juga apabila seminar atau pembentangan di dalam dewan walaupun
hanya seorang bukan rakyat Malaysia, mereka lebih suka bertutur dalam bahasa
Inggeris. Oleh itu, permasalahan ini iaitu sikap penutur merupakan satu cabaran
yang perlu ditangani secara berhati-hati pada abad ke-21 supaya bahasa Melayu
tidak dipandang rendah oleh masyarakat sendiri. Nik Safiah Karim dalam buku
Sumbangsih, Kumpulan Esei Mengenang Jasa Asraf, memperkatakan bahawa bahasa
Melayu, cabaran yang sebenarnya terletak pada sikap yang dipegang oleh
penuturnya itu sendiri.
Hakikatnya dalam abad
ke-21 memang membawa cabaran kepada bahasa Melayu dari segi saingan dengan
bahasa Inggeris tetapi diharap senario ini tidak menjadi satu cabaran besar
hingga menggugat kedudukan bahasa Melayu. Kita seharusnya berasa bangga dengan
bahasa Melayu kerana kekal sehingga sekarang dan bangga terhadap bahasa kebangsaan
sebagai bahasa.
3.5 CABARAN
BAHASA MELAYU DALAM PENDIDIKAN.
Dunia era globalisasi
kini memperlihatkan perkembangan ilmu yang begitu pantas. Kemajuan dalam
teknologi maklumat memberi kesan secara langsung dan tidak secara langsung
dalam kehidupan dan sistem pendidikan. Perubahan demi perubahan berlaku membawa
bersama isu dan cabaran terhadap pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di
sekolah. Pelbagai cabaran yang dihadapi oleh para guru Bahasa Melayu dalam
usaha mengembangkan potensi berbahasa seiring dengan perkembangan dunia semasa.
Masyarakat bandar kini semakin mementingkan bahasa Inggeris telah menyebabkan
pembelajaran bahasa Melayu kini semakin tercabar. Tugas guru yang sedia ada
dalam memberikan pengajaran dan bimbingan pengetahuan tentang bahasa Melayu
serta tugas pentadbiran lain, kini menggalas satu lagi peranan baharu bagi
menanamkan keyakinan terhadap bahasa kebangsaan ini. Justeru, guru perlu
kreatif dan inovatif dalam mencari dan mengubah suai pendekatan agar selari
dengan keperluan pelajar. Dalam masa yang sama guru perlu bijak dalam memupuk
sikap cintakan bahasa kebangsaan kepada pelajar yang telah dimomokkan dengan
kepentingan bahasa Inggeris agar tidak menimbulkan konflik lain.
Cabaran yang paling
hebat dan mencabar kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ini
ialah penerapan dasar baru ( meskipun menyalahi akta Dasar Pelajaran Kebangsaan
) menyaksikan penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan
Matematik pada tahun 2003. Penggunaan
bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik bukanlah
jalan penyelesaian bagi memperbaiki kelemahan atau meningkatkan penguasaan
bahasa Inggeris pelajar. Langkah itu bukan sahaja tidak dapat membantu
mengatasi masalah kelemahan penguasaan bahasa Inggeris pelajar malah dikhuatiri
akan menjejaskan penguasaan pelajar dalam kedua-dua mata pelajaran itu. Dengan
masalah kurangnya guru yang berupaya mengajarkan mata-mata pelajaran tersebut
dalam bahasa Inggeris kerana mereka terlatih dalam bahasa kebangsaan sewaktu
megikuti kursus pendidikan dan pada waktu yang sama pelajar sendiri menghadapi
masalah memahami ilmu dalam bahasa Inggeris. Dalam hubungan dengan nasib dan
masa hadapan bahasa Melayu yang diberi fungsi sebagai bahasa kebangsaan, bahasa
rasmi dan bahasa ilmu, pengurangan peranannya sebagai bahasa pengungkap ilmu
dan pengetahuan dengan sendirinya akan melemahkan kekuatan bahasa itu kerana
keutuhan suatu bahasa banyak bergantung pada ilmu dan pemikiran yang
didukungnya. Apabila fungsi suatu bahasa terhad pada fungsi sosialnya
semata-mata iaitu untuk komunikasi biasa, bahasa itu menjadi pincang kerana tidak
memenuhi fungsinya sebagai bahasa wahana pelbagai bidang ilmu, pemikiran,
teknologi, ekonomi, undang-undang dan sebagainya. Sejarah bahasa Melayu sejak
berabad-abad lalu menunjukkan bahawa keutuhannya bukan sahaja berasaskan
peranannya sebagai lingua franca tetapi juga pada fungsinya dalam pelbagai
bidang.
Munculnya abad ke-21
telah menjadikan bahasa Melayu semakin mendapat saingan sengit atau cabaran
daripada bahasa Inggeris. Setelah 52 tahun Malaysia merdeka dan 32 tahun
pelaksanaan sepenuhnya dasar bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan,
bahasa Melayu telah menghadapi cabaran yang tidak diduga apabila Akta
Pendidikan 1996 dan Akta IPTS 1996 diluluskan, maka semua IPTS dibenarkan
menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.
Menurut Prof. Dr. Awang
Sariyan tokoh bahasa yang tidak asing lagi dalam membicarakan kemelut Bahasa
Melayu dalam satu wawancara dengan Bernama ( Jun;2011 ), Akta Pendidikan 1996,
institusi pengajian tinggi swasta masih tetap tertakluk kepada penggunaan
Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama. Menurut beliau lagi Universiti
Kebangsaan Malaysia yang cukup jelas dasar bahasanya sehingga tesis peringkat
doktor falsafah pun kebanyakannya ditulis dalam Bahasa Melayu sebagai bukti
kemampuan Bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu tinggi. Ketetapan mengajarkan tiga
mata kuliah teras IPTS iaitu Bahasa Melayu, Kenegaraan Malaysia dan Agama atau
Moral tampaknya menjadi dokumen tersurat sahaja kerana kebanyakan IPTS
mengabaikan ketetapan itu kecuali IPTS milik kerajaan seperti Universiti
Multimedia, Universiti Tenaga Nasional dan Universiti Petronas.
Berdasarkan
perkara-perkara di atas boleh dikatakan kesan jangka pendek dan panjang ini
bukan sahaja menimbulkan masalah kepada pelajar, guru dan institusi pengajian
tinggi malah jangka panjangnya boleh memberi kesan kepada dasar pendidikan
zaman penjajah sebenarnya mengundang masalah jurang kaum yang pernah berlaku
satu ketika dulu iaitu ’Pengalaman 13 Mei’.
4.0 KESIMPULAN.
Dari alaf ke alaf bahasa
memainkan peranan yang penting dalam pembentukan tamadun dan juga dalam
hubungan politik, diplomatik dan perniagaan antara negara dan kumpulan di
dunia. Dalam konteks ini kita lihat bahawa bahasa merupakan faktor yang penting
dalam persaingan kuasa antarabangsa pada peringkat negara dan komuniti atau
kumpulan. Penaklukan sesuatu bangsa terhadap bangsa lain turut melibatkan
penggunaan bahasa penakluk dalam komuniti yang ditakluknya, baik secara
penguatkuasaan undang-undang atau secara resapan sosial. Walau apa pun juga
caranya, kemasukan bahasa asing terutama Bahasa Inggeris yang berkuasa itu
menimbulkan keadaan persaingan antara bahasa. Keadaan yang seperti inilah yang
menimbulkan kesedaran kepada tanah-tanah jajahan atau taklukan bahawa
sebahagian daripada identiti mereka yakni yang diwujudkan melalui bahasa mereka
mulai terpendam. Dari itu timbullah perjuangan menegakkan kembali bahasa sebagai satu ideologi kerana
dalam bahasa terdapat pemaujudan kuasa dan juga ideologi [ Fairclough 1989:12
]. Persaingan bahasa paling hebat dalam sejarah bangsa manusia terdapat dalam
alaf kedua Masihi, khususnya abad ke-20 kerana pada abad inilah munculnya
perjuangan kebangsaan yang menyeluruh dengan terbentuknya negara-negara yang
merdeka dari kuasa penjajahan. Tetapi dalam abad inilah juga terdapatnya
kecenderungan negara-negara dunia untuk menjadi sepakat dalam pemilihan bahasa
antarabangsa iaitu bahasa Inggeris.
Sebagai warganegara
Malaysia kita perlu mempunyai wawasan yang sama untuk membina dan membangunkan
negara yang bersatu padu, penuh toleransi dan jelas citranya sebagai satu
bangsa Malaysia. Semua orang tahu bahawa kita boleh bersatu melalui satu bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yakni bahasa negara
sendiri kerana melaluinya hubungan budaya komunikasi dan nilai dapat dikongsi
bersama. Dalam batas-batas ketentuan Perlembagaan Negara, kita sudah memilih satu Dasar Bahasa Negara. Kita perlu memahami kebebasan buat mana-mana
kaum dan suku bangsa kita menggunakan bahasa sendiri atau dialek dalam konteks
tempatan atau persendirian. Kita memiliki bahasa Negara dan bahasa rasmi yang
satu.
Di samping itu, telah banyak langkah diambil
untuk memartabatkan dan memperkasa bahasa Melayu terbukti dengan ucapan Mantan
Perdana Menteri yang ke-5 iaitu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika
merasmikan Seminar Persahabatan Malaysia-China di Beijing Foreign Studies
University ( BFSU ), China pada 29 Mei 2009. ( Sumber:Berita Harian (14.06.2009
) mengejutkan pihak tertentu di Negara ini kerana menyampaikan ucapannya dalam
bahasa Melayu sepenuhnya.
Pada abad ke-21 ini patut dijadikan abad
untuk mengembalikan kegemilangan bahasa Melayu seperti yang pernah dialami oleh
bahasa itu pada abad ke-15. Untuk memastikan bahasa Melayu kembali gemilang
sebagai bahasa dunia dan setanding dengan bahasa-bahasa utama yang lain,
beberapa tindakan yang positif dan
sedang diambil, khususnya oleh pihak Malaysia dengan kerjasama pelbagai pihak,
ialah Dewan Bahasa dan Pustaka. DBP yang ditubuhkan pada 1956, melalui Ordinan
No. 25, 1959, dikenali Akta 213, Akta 930, Akta DBP ( Pindaan dan Perluasan
1995 ). DBP ditubuhkan dengan tujuan untuk membangun bahasa kebangsaan dan
kesusasteraan kebangsaan serta penerbitan di dalam bahasa kebangsaan. Bukan
sahaja DBP bertujuan memperjuangkan tujuan berkenaan, Lembaga Pengelola DBP
juga mempunyai tugas atau tujuan yang sama; seperti yang dicatat di dalam
perkara 5,
·
Untuk
memperkembang, memperkayakan bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk
sains dan teknologi
·
Untuk
memperkembangkan bakat sastera khasnya dalam bahasa kebangsaan
·
Untuk
mencetak dan menerbit buku-buku, majalah-majalah, dalam bahasa kebangsaan
·
Menstandardisasikan
ejaan dan sebutan
·
Membentuk
istilah-istilah akademik yang sesuai dalam bahasa kebangsaan
Di samping DBP, terdapat
satu lagi agensi kerajaan yang melaksanakan dasar kebangsaan iaitu Pihak
Kerajaan Tempatan atau Pihak Berkuasa Tempatan ( PBT ). Bidang kuasa PBT
tertakluk kepada Akta 171, Akta Kerajaan Tempatan 1976, yang mengandungi segala
pindaan hingga Januari 2006. Perlaksanaan Akta ini berhubung bahasa kebangsaan
tidak boleh bercanggah dengan peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan dan
Akta Bahasa Kebangsaan. Perlaksanaan bahasa kebangsaan meliputi nama jalan,
bangunan dan tamah perumahan serta lain-lain premis dan papan tanda iklan.
Sebelum itu, sebuah dana
penyelidikan tamadun Melayu-China yang diletakkan di bawah dewan Bahasa dan
Pustaka ( DBP ) telah dilancarkan pada 24 Mei lalu di Kuala Lumpur. Selain BFSU
, DBP juga telah menjalinkan hubungan dengan institusi lain seperti Radio
Antarabangsa China ( CRI ), Universiti Peking dan Institut Penyiaran Beijing. Pusat
Bahasa Melayu ( PBM ) juga telah dirasmikan pada 20 Jun 1997 di Beijing.
Di Malaysia pula, Pameran Bahasa, Sastera dan
Budaya Malaysia-China dan Seminar Karya Agung Melayu-China telah diadakan. Pameran dan seminar tersebut telah dirasmikan oleh
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di DBP pada 20 Mei lalu.
Sempena majlis itu, buku Tamadun China dan Kamus Pelajar Bahasa Melayu-Bahasa
Cina-Bahasa Inggeris telah dilancarkan. Pameran Bahasa, Sastera dan Budaya
Melaysia-China diadakan pada 18-31 Mei lalu di Galeri Keris Mas, DBP. Perkembangan
yang menakjubkan ini menggambarkan bahawa bahasa Melayu berupaya menjadi salah
satu bahasa yang penting di dunia, apalagi semakin ramai pelajar antarabangsa
seperti Amerika Syarikat dan rantau Oceania berminat mengikuti pengajian bahasa
itu. Bahasa Melayu diajarkan di universiti Perancis, Britain, Belanda dan
Australia. Berdasarkan perangkaan Jabatan Pendidikan Victoria State, Australia
terdapat lebih 100,000 orang pelajar yang mengikuti pengajian bahasa Melayu.
Bukan itu sahaja,
malahan bahasa Melayu dituturkan oleh lebih daripada 250 juta orang penutur,
yang menjadikannya bahasa keempat terbesar di dunia, selepas bahasa Inggeris,
Cina dan Hindi. Bahasa Melayu digunakan bukan sahaja di Malaysia, Indonesia dan
Brunei Darussalam, bahkan di selatan Thailand, selatan Kemboja, selatan
Filipina, Laos dan Vietnam. Di Sri Lanka misalnya, kira-kira 60,000 penduduknya
menggunakan bahasa Melayu. Pengarah The English Company ( UK ) Ltd, David
Graddol meramalkan bahasa Melayu merupakan salah satu bahasa yang peling pesat
berkembang, selain bahasa Mandarin, Inggeris, Hindi dan Arab menjelang 2050.
Di samping itu, Majlis
Antarabangsa Bahasa Melayu ( MABM ) yang ditunjangi oleh DBP sejak empat tahun
lalu turut dianggotai 30 buah negara dari Eropah, Amerika Utara, Asia Timur dan
Oceania. MABM menggerakkan empat bidang utama iaitu penerbitan, kegiatan
kebahasaan, pengajaran bahasa serta anugerah dan pengiktirafan. MABM juga
sedang membangunkan sebuah gerbang web antarabangsa mengenai pengajian Melayu
yang dijangka siap setahun lagi. Semua negara anggota Majlis Bahasa Brunei
Darussalam-Indonesia-Malaysia ( MABBIM ) dalam sidang ke-43 baru-baru ini pula
bersetuju mendesak kerajaan negara-negara ASEAN menjadikan bahasa Melayu
sebagai bahasa rasmi ASEAN. Pada masa ini kira-kira 80 peratus penduduk ASEAN
boleh bertutur bahasa Melayu.
Sesungguhnya Malaysia
dan warga antarabangsa berkongsi pendirian dalam hal globalisasi dan orde baru
dunia yang harus diperkukuh melalui kerjasama erat dalam bidang kebudayaan dan
kebahasaan. Sokongan dan iltizam daripada kerajaan mampu menjayakan usaha
tersebut sekali gus mencapai wawasan DBP untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai
salah satu bahasa utama dunia menjelang tahun 2020.
Terima kasih boleh share...
BalasPadamUlasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
BalasPadam